Friday, January 23, 2009

IPD Tampin Jun 1981


Kata orang lama berpindah randah adalah perkara biasa dan menjadi satu kemestian kepada setiap anggota polis. Tak sangka juga saya, baru setahun bertugas di IPK N. Sembilan saya dah dapat arahan untuk bertukar. Saya menjalani pertukaran ke Cawangan Anti Dadah IPD Tampin pada 16 Jun 1981. Sedih juga saya apabila terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada kawan-kawan terutamanya rakan-rakan dicawangan D8 IPK Negeri Sembilan.

Tak banyak barang yang sempat saya beli dalam masa setahun bertugas di Seremban. Saya hanya menggunakan Van pasukan untuk membawa beg pakaian dan sebuah tilam bujang semasa hendak berpindah. Saya sendiri mengekori van ke Tampin dengan menunggang m/sikal milik saya Suzuki 100 no. NM 5700 .Motosikal ini saya beli secara ansuran dari kedai di Rasah.

Walaupun jaraknya sekadar 50 Km tetapi perjalanan dari Seremban ke Tampin mengambil masa lebih kurang 45 minit. Banyak selekoh merbahaya yang terpaksa ditempuh disepanjang perjalanan terutamanya dikawasan Rembau. Sukar untuk saya gambarkan keadaan selekoh di Pekan Kg Batu iaitu selekoh tajam dan merbahaya sekali. Kalau tidak berhati-hati semasa mengambil selekoh ini pasti akan terbabas.

Di IPD Tampin mula-mula sekali saya dikenalkan dengan pegawai bujang iaitu Insp. Abdullah bin Abd Kadir dan Insp. Voon Lee Shan. Kedua-dua pegawai ini sangat peramah dan mudah mesra. Saya dibawa kerumah mereka di Taman Clonlee, Tampin dimana saya akan tinggal bersama-sama kerana rumah tersebut disewa oleh PDRM untuk pegawai bujang. Jarak dari rumah ke IPD cuma lebih kurang 1 km sahaja.

Semasa menghadiri taklimat dan sessi memperkenalkan diri saya dimaklumkan Ibu Pejabat Daerah Polis Tampin juga meliputi Daerah Rembau dan Daerah Kecil Gemas. Ketua Polis Daerah ialah ASP Bahadon bin Baharom. Lain-lain pegawai ialah ASP Ibrahim Mohamad sebagai Ketua Cawangan Khas Daerah, Insp. Shamsuddin Penolong Ketua Polis Daerah, Insp. Baharuddin IK Tampin, Insp. Mohd Yahya IK Gemas, Insp. Mohd Taib IK Rembau, Insp. Azmi Jaafar Peg. Penyiasat Kongsi Gelap, Pegawai Pendakwa Ketua Insp. Maniam dan Pegawai Penyiasat Jenayah Insp. Hamdani Minhat, Insp. Abdullah Abd Kadir dan Insp. Voon Lee Shan.

Lebih kurang sebulan selepas saya melapurkan diri dua pegawai dari IPD Tampin iaitu Insp. Azmi Jaafar dan Insp. Hamdani bertukar ke IPK Negeri Sembilan. Jawatan yang dikosongkan oleh Insp. Azmi Jaafar di isi oleh Insp. Mohd Zin tetapi tiada pengganti bagi jawatan pegawai penyiasat yang dikosongkan oleh Insp. Hamdani. Saya mengambil alih pejabat Pegawai Penyiasat yang dikosongkan oleh Insp Hamdani.

Atas arahan KPD saya bersama-sama Insp. Abdullah dan Insp Voon Lee Shan berpindah kerumah kerajaan yang dikosongkan oleh Insp. Hamdani. Rumah baru kami terletak di Jalan Bukit dan jaraknya hanya 1/2 km dari IPD Tampin. Sebanyak 6 unit rumah banglow 4 bilik dikhaskan untuk Inspektor . Rumah KPD dan Pegawai Daerah Tampin juga terletak dikawasan yang sama tetapi dipisahkan dengan pagar kawasan. Selepas waktu pejabat kami pegawai-pegawai akan berkumpul dirumah KPD Tuan Bahadon untuk bermain badminton. Isteri Tuan Bahadon Puan Rubiah dan anak-anaknya yang peramah tak putus-putus menyediakan juadah untuk kami. Saat tak dapat dilupakan apabila Tuan Bahadon mengajar kami ilmu silat gayung.

Selepas beberapa bulan bertugas di Tampin akhirnya tiga anggota detektif iaitu D/Kpl. Chek Man bin Abd Rahman , D/Konst.49857 Mohd Ariffin bin Abd Rahman dan D/Konst. 64127 Zakaria bin Joned melapur diri untuk bertugas bersama-sama saya di Cawangan Anti Dadah. Dengan bantuan ketiga-tiga detektif ini dapatlah saya memperkemas dan memperkembangkan aktiviti cawangan Anti dadah secara lebih teratur dan berkesan. Akhirnya Cawangan Anti Dadah telah berkembang dengan pesatnya sehingga kami diperuntukan sebuah pejabat baru yang lebih besar. Pejabat tambahan ini dibina diatas bumbung lokap IPD Tampin.


Tahun 1983 beban kerja saya dan rakan-rakan semakin bertambah apabila Kem Pasukan Polis Hutan Tampin dijadikan Pusat Serenti Dadah pertama . Kami bertanggung jawab menyelaras semua tangkapan penagih yang dihantar untuk tahanan diPusat Serenti tersebut. Cawangan Anti Dadah diperbesarkan dengan penambahan pegawai dan anggota dimana ASP Latif Sitam bertukar ke Tampin untuk menjawat jawatan Ketua Cawangan Anti Dadah disamping tambahan empat detektif iaitu D/Konst 92512 Hashim Deraman , D/Kons. Razif Md Tulis, D/Konst. 101013 Jalaludin dan seorang lagi detektif iaiitu D/Konst Abdullah ditempatkan di Balai polis Rembau.

Tugas saya sebagai Pegawai Penyiasat Anti dadah di IPD Tampin adalah selama 8 tahun 9 bulan. ASP Lartif Sitam dan ASP Hussain Dos Mohammad adalah dua orang Ketua Cawangan Anti Dadah IPD Tampin yang telah memimpin saya. Suka duka dan pahit manis sepanjang tempoh berkhidmat dengan mereka masih terpahat diingatan saya. Begitu juga ingatan saya kepada Ketua Polis Daerah ketika itu iaitu ASP Bahadon, ASP Mazlan , ASP Khasni Md Nor dan ASP Ali Mohammed.

Pada 1 April, 1990 saya ditukarkan ke Balai Polis Gemas untuk menjawat jawatan sebagai Insektor Kawasan Gemas. Ketika itu ASP Ali Mohamed masih bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Tampin.Saya amat berterima kasih kepadanya kerana memberikan kepercayaan kepada saya untuk berkhidmat sebagai Inspektor Kawasan.

No comments:

Post a Comment