Saturday, January 17, 2009

PFF Frame course

Selepas tamat latihan di Pusat Latihan Polis Jalan Semarak saya dan rakan-rakan skuad 4/79 telah dihantar ke Sekolah Latihan Polis Hutan , Hulu Kinta , Perak untuk menjalani Latihan Penyesuaian Pasukan Polis Hutan selama sebulan. Dari Sekolah Latihan Hulu Kinta kami dibawa ke Tupah, Sik , Kedah untuk menjalani latihan peperangan hutan. Disinilah cabaran sebenar tinggal dan hidup dalam hutan dengan segala kemudahan yang terhad dan memerlukan semangat yang jitu. Bagi diri saya semasa berlatih disini telah meninggalkan kesan yang sukar untuk dilupakan. Saya terkenangkan betapa kesukaran dan kesengsaraan yang terpaksa ditanggung oleh anggota Pasukan Polis Hutan dan tentera yang berjuang menentang kominis didalam hutan.

Modul latihan yang tidak dapat saya lupakan ialah semasa kami menjalani latihan di Gunung Jerai dimana kami berkemah dan bermalam didalam hutan. Pada malam tersebut semasa sedang tidur tiba-tiba saya terkejut kerana mendengar bunyi tembakan dan letupan bertalu-talu. Saya dan rakan dalam keadaan ketakutan bertindak cepat mencari perlindungan. Apa yang tergambar difikiran saya ketika itu ialah kami telah diserang oleh kominis. Setelah suasana tenteram dan juru latih datang memeriksa kedudukan kami baharulah saya tahu serangan ini adalah salah satu modul latihan.

Minggu terakhir sebelum tamat latihan di Tupah saya telah dimasukan ke Hospital Daerah Sg Petani untuk rawatan kerana disyaki keracunan makanan. Pak Andak saya Murad bin Ahmad yang secara kebetulan bertugas dihospital Sg Petani melawat saya setiap hari untuk bertanya khabar. Dua hari sebelum kami tamat latihan di Tupah saya sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital dan dapatlah juga saya menghadiri majlis mes night yang diadakan sempena tamat latihan kami.

1 comment:

  1. Pengalaman yang menarik..
    Bukan mudah nak jadi senang
    Tatkala kerjaya mencabar menjadi pilihan

    ReplyDelete