Saturday, June 4, 2011

Utusan Online

5 Jun 2011 Teringat rencana yang ditulis oleh Normala Salleh mengenai saya dalam Utusan Malaysia keluaran 17 Februari 2009 .... copy n paste kat sini untuk anak2 baca...hahaha

Pengalaman matangkan Che Azmi

oleh Normala Salleh
Che Azmi Bidin mesra dengan pekerja bawahannya.


TAK ada cita-cita tinggi, hidup sekadar menghamba diri, tak ingin diri disanjungi, rahmat Allah sentiasa disyukuri," adalah merupakan kata perangsang dalam hidupnya.

Jika dilihat dari personalitinya yang memakai pakaian seragam berwarna biru lengkap dengan pangkat di bahu bajunya, tidak terjangkau di fikiran kita bahawa insan seperti ini mempunyai minat yang mendalam terhadap penulisan.

Asisten Supritendan Che Azmi Bidin, 51, yang kini bertugas di Pejabat Kem Komandan Bukit Aman, gemar mengisi masa lapangnya dengan menulis karya.

Antara hasil nukilannya adalah bertajuk 'Fitrahku', 'Pesananku', 'Mulu oh Mulu', 'Mawi' dan banyak lagi ditampal dalam pejabat sebagai rangsangan untuk menempuh perjalanan hidupnya.

Dilahirkan pada 21 Februari 1958 di Jitra, Kedah, Che Azmi mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sungai Kob, Kulim dan Sekolah Menengah Jitra sehingga beliau memperolehi Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan berakhir di Sekolah Menengah Pulau Nyior, Jitra, Kedah.

Minatnya yang mendalam dengan pasukan polis mendorong beliau untuk melapor diri di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak, Kuala Lumpur pada tahun 1976.

Pada tahun 1977 hingga 1979, beliau bertugas sebagai Konstabel di Balai Polis Kuala Krau, Pahang dalam tugas-tugas am.

Dua tahun kemudian, iaitu pada tahun 1981, beliau menyandang jawatan sebagai Inspektor di Balai Polis Tampin di cawangan Jenayah Narkotik sebelum ditukarkan di Gemas pada tahun 1990.

Tujuh tahun selepas itu, beliau ditukarkan ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan menjawat jawatan sebagai Asisten Supritendan sehinggalah ke hari ini.
Bertanya mengenai pengalamannya yang sukar untuk dilupakan, beliau tersenyum dan mengimbau kembali kenangan sewaktu pulang dari bertugas di Gemas.
"Ketika itu, kira-kira pukul 12 tengah malam, saya bersendirian memandu dalam perjalanan pulang selepas melawat Pondok Polis Pasir Besar dan melalui jalan yang dikelilingi kelapa sawit yang sunyi dan gelap.

"Tiba-tiba, saya ternampak ada seseorang melambai-lambai tangannya ke arah saya tetapi saya tidak memberhentikan kenderaan kerana takut". Setelah terfikir kemungkinan orang tersebut berada dalam kesusahan saya patah balik ke kawasan tersebut, rupanya seorang perempuan tua yang melambai," jelasnya. Perempuan tua itu meminta untuk membantu suaminya yang terjatuh dari motosikal selepas terbabas ke tepi semak.

Menurut Che Azmi, pada masa itu, tiada sebarang alat komunikasi yang membolehkan beliau berhubung untuk mendapatkan bantuan.

Dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda pasukan , beliau membantu kedua-dua orang tua tersebut dan terus menghantar mereka ke hospital.

"Setelah mendapatkan rawatan, saya membawa mereka pulang ke rumah saya terlebih dahulu. Saya difahamkan pasangan ini sebenarnya dari Segamat ingin ke rumah anak mereka di Felda Serting, Gemas dan saya pun menghantar mereka.

"Beberapa minggu kemudian, mereka datang ke rumah saya dan menjadikan saya sebagai anak angkat mereka".

"Itulah pengalaman manis yang pernah saya alami dan memaksa saya menjadi berani walau pun dalam ketakutan," katanya.

Menurut Che Azmi, selain hobinya yang suka berkarya, beliau amat meminati sukan petanque dan merupakan seorang pengelola sukan tersebut.

"Saya pernah memenangi tempat kedua dalam pertandingan petanque Maksak kategori double veteran," ujarnya.

Bapa kepada enam orang cahaya mata iaitu Che Nor Aziah, 26; Ahmad Syauqi, 25; Che Ahmad Syafuan, 23; Che Nur Izzah, 19; Che Nur Aina Nadia, 9, dan Che Ahmad Syahir, 7, hasil perkongsian hidup bersama Norhayati Suriani, 45, membuatkannya bangga kerana salah seorang dari anaknya juga menjadi anggota polis dan selebihnya masih lagi menuntut.

"Saya mengagumi cara pimpinan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana beliau berpandangan jauh. Selain itu, saya amat menyukai membaca blog beliau kerana penulisannya yang mudah untuk difahami," katanya mengenai idola yang dikagumi.

Beliau berharap agar generasi masa depan akan terus meminati bidang polis kerana baginya, kerjaya ini dapat mengajar seseorang itu untuk membantu orang lain yang ditimpa kesusahan.

"Saya berharap agar masyarakat tidak berfikiran negatif terhadap pasukan polis. Ini kerana anggota polis berkhidmat untuk masyarakati," katanya mengakhiri perbualan.