Tuesday, January 13, 2009
Balai Polis Kuala Krau 1977
Cabaran pertama yang terpaksa saya hadapi bila mula bertugas diBalai Polis Kuala Krau ialah untuk menyesuai dan menempatkan diri dikalangan "orang lama". Saya adalah anggota polis paling muda diBalai Polis Kuala Krau. Kekok juga masa mula-mula nak bergaul dengan orang lama. Sebagai orang baru saya amat memahami kedudukan saya yang perlu banyak belajar dan mendapatkan tunjuk ajar dari orang lama. Saya menganggap mereka sebagai bapa dan abang saya.
Sjn Wan Idris yang menjadi ketua polis balai adalah seorang yang berkarisma dan saya amat mengagumi beliau. Semua anggota balai amat menyenangi beliau, kami bukan takut padanya tetapi menghormatinya sebagai seorang ketua. Malu kami untuk melakukan perkara yang tak betul dalam tugas kalau dilihat atau diketahui oleh beliau. Saya memanggilnya dengan panggilan mesra "Tok Wan". Bagi saya apa yang Tok Wan cakap adalah satu perintah dan tak boleh diingkari.
Tok Wan minat seni mempertahankan diri 'silat'. Saya adalah orang yang tak dapat menolak apabila beliau mempelawa untuk bersama-sama dengan anaknya untuk belajar ilmu silat. Kami dibawa berguru dengan seorang guru silat muda di Kg Paya Luas. Ada kalanya Tok Wan akan menjemput guru silat ke Balai dan kami belajar silat di belakang rumahnya. Isteri Tok Wan Mak Cik Rahmah akan menyediakan minuman dan kueh mueh untuk kami selepas selesai bersilat.
Malangnya saya tak dapat belajar silat hingga tamat kerana apabila Tok Wan dinaikkan kepangkat Sarjan Mejor beliau ditukarkan keBalai Polis Mentakab.Saya amat merindui kenangan manis masa bersama-sama Tok Wan dan keluarganya. Semuga Tok Wan dan keluarga sentiasa berada didalam perlindungan dan rahmat allah selalu.
Pemergian Tok Wan bertukar keMentakab diganti oleh Sarjan Abdul Jalil sebagai Ketua Polis Balai Kuala Krau. Sarjan Jalil seorang yang peramah dan mudah mesra. Saya bergaul rapat dengan anak-anaknya antaranya Zulkifli , Mutalib dan khairil.
Di Kuala Krau juga saya berkenalan ramai dengan guru-guru sekolah antaranya yang rapat ialah Yaakub, Raja (Perak), Shafie(Kedah), Shamsuddin(Kedah), Khalid(NS), Zainal, Idrus , Chang(Kelantan) dan che gu Be(Melaka). Saya mengambil kesempatan belajar dengan mereka untuk menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment