Friday, January 23, 2009

IPD Tampin Jun 1981


Kata orang lama berpindah randah adalah perkara biasa dan menjadi satu kemestian kepada setiap anggota polis. Tak sangka juga saya, baru setahun bertugas di IPK N. Sembilan saya dah dapat arahan untuk bertukar. Saya menjalani pertukaran ke Cawangan Anti Dadah IPD Tampin pada 16 Jun 1981. Sedih juga saya apabila terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada kawan-kawan terutamanya rakan-rakan dicawangan D8 IPK Negeri Sembilan.

Tak banyak barang yang sempat saya beli dalam masa setahun bertugas di Seremban. Saya hanya menggunakan Van pasukan untuk membawa beg pakaian dan sebuah tilam bujang semasa hendak berpindah. Saya sendiri mengekori van ke Tampin dengan menunggang m/sikal milik saya Suzuki 100 no. NM 5700 .Motosikal ini saya beli secara ansuran dari kedai di Rasah.

Walaupun jaraknya sekadar 50 Km tetapi perjalanan dari Seremban ke Tampin mengambil masa lebih kurang 45 minit. Banyak selekoh merbahaya yang terpaksa ditempuh disepanjang perjalanan terutamanya dikawasan Rembau. Sukar untuk saya gambarkan keadaan selekoh di Pekan Kg Batu iaitu selekoh tajam dan merbahaya sekali. Kalau tidak berhati-hati semasa mengambil selekoh ini pasti akan terbabas.

Di IPD Tampin mula-mula sekali saya dikenalkan dengan pegawai bujang iaitu Insp. Abdullah bin Abd Kadir dan Insp. Voon Lee Shan. Kedua-dua pegawai ini sangat peramah dan mudah mesra. Saya dibawa kerumah mereka di Taman Clonlee, Tampin dimana saya akan tinggal bersama-sama kerana rumah tersebut disewa oleh PDRM untuk pegawai bujang. Jarak dari rumah ke IPD cuma lebih kurang 1 km sahaja.

Semasa menghadiri taklimat dan sessi memperkenalkan diri saya dimaklumkan Ibu Pejabat Daerah Polis Tampin juga meliputi Daerah Rembau dan Daerah Kecil Gemas. Ketua Polis Daerah ialah ASP Bahadon bin Baharom. Lain-lain pegawai ialah ASP Ibrahim Mohamad sebagai Ketua Cawangan Khas Daerah, Insp. Shamsuddin Penolong Ketua Polis Daerah, Insp. Baharuddin IK Tampin, Insp. Mohd Yahya IK Gemas, Insp. Mohd Taib IK Rembau, Insp. Azmi Jaafar Peg. Penyiasat Kongsi Gelap, Pegawai Pendakwa Ketua Insp. Maniam dan Pegawai Penyiasat Jenayah Insp. Hamdani Minhat, Insp. Abdullah Abd Kadir dan Insp. Voon Lee Shan.

Lebih kurang sebulan selepas saya melapurkan diri dua pegawai dari IPD Tampin iaitu Insp. Azmi Jaafar dan Insp. Hamdani bertukar ke IPK Negeri Sembilan. Jawatan yang dikosongkan oleh Insp. Azmi Jaafar di isi oleh Insp. Mohd Zin tetapi tiada pengganti bagi jawatan pegawai penyiasat yang dikosongkan oleh Insp. Hamdani. Saya mengambil alih pejabat Pegawai Penyiasat yang dikosongkan oleh Insp Hamdani.

Atas arahan KPD saya bersama-sama Insp. Abdullah dan Insp Voon Lee Shan berpindah kerumah kerajaan yang dikosongkan oleh Insp. Hamdani. Rumah baru kami terletak di Jalan Bukit dan jaraknya hanya 1/2 km dari IPD Tampin. Sebanyak 6 unit rumah banglow 4 bilik dikhaskan untuk Inspektor . Rumah KPD dan Pegawai Daerah Tampin juga terletak dikawasan yang sama tetapi dipisahkan dengan pagar kawasan. Selepas waktu pejabat kami pegawai-pegawai akan berkumpul dirumah KPD Tuan Bahadon untuk bermain badminton. Isteri Tuan Bahadon Puan Rubiah dan anak-anaknya yang peramah tak putus-putus menyediakan juadah untuk kami. Saat tak dapat dilupakan apabila Tuan Bahadon mengajar kami ilmu silat gayung.

Selepas beberapa bulan bertugas di Tampin akhirnya tiga anggota detektif iaitu D/Kpl. Chek Man bin Abd Rahman , D/Konst.49857 Mohd Ariffin bin Abd Rahman dan D/Konst. 64127 Zakaria bin Joned melapur diri untuk bertugas bersama-sama saya di Cawangan Anti Dadah. Dengan bantuan ketiga-tiga detektif ini dapatlah saya memperkemas dan memperkembangkan aktiviti cawangan Anti dadah secara lebih teratur dan berkesan. Akhirnya Cawangan Anti Dadah telah berkembang dengan pesatnya sehingga kami diperuntukan sebuah pejabat baru yang lebih besar. Pejabat tambahan ini dibina diatas bumbung lokap IPD Tampin.


Tahun 1983 beban kerja saya dan rakan-rakan semakin bertambah apabila Kem Pasukan Polis Hutan Tampin dijadikan Pusat Serenti Dadah pertama . Kami bertanggung jawab menyelaras semua tangkapan penagih yang dihantar untuk tahanan diPusat Serenti tersebut. Cawangan Anti Dadah diperbesarkan dengan penambahan pegawai dan anggota dimana ASP Latif Sitam bertukar ke Tampin untuk menjawat jawatan Ketua Cawangan Anti Dadah disamping tambahan empat detektif iaitu D/Konst 92512 Hashim Deraman , D/Kons. Razif Md Tulis, D/Konst. 101013 Jalaludin dan seorang lagi detektif iaiitu D/Konst Abdullah ditempatkan di Balai polis Rembau.

Tugas saya sebagai Pegawai Penyiasat Anti dadah di IPD Tampin adalah selama 8 tahun 9 bulan. ASP Lartif Sitam dan ASP Hussain Dos Mohammad adalah dua orang Ketua Cawangan Anti Dadah IPD Tampin yang telah memimpin saya. Suka duka dan pahit manis sepanjang tempoh berkhidmat dengan mereka masih terpahat diingatan saya. Begitu juga ingatan saya kepada Ketua Polis Daerah ketika itu iaitu ASP Bahadon, ASP Mazlan , ASP Khasni Md Nor dan ASP Ali Mohammed.

Pada 1 April, 1990 saya ditukarkan ke Balai Polis Gemas untuk menjawat jawatan sebagai Insektor Kawasan Gemas. Ketika itu ASP Ali Mohamed masih bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Tampin.Saya amat berterima kasih kepadanya kerana memberikan kepercayaan kepada saya untuk berkhidmat sebagai Inspektor Kawasan.

Monday, January 19, 2009

Ipk Negeri Sembilan 1980

Tamat kursus penyesuaian PPH di Tupah saya mendapat maklum penempatan saya seterusnya adalah di Cawangan Siasatan Jenayah Kontinjen Polis N. Sembilan. Saya dan kawan-kawan yang akan ditempatkan diKontinjen N. Sembilan dibawa dari Tupah menaiki lori PDRM ke Butterworth sebelum kami menaiki keretapi ke Seremban.

Pada 8 Jun 1980 apabila sampai di Steshen keretapi Seremban kami kemudiannya dibawa keIbu Pejabat Polis Kontinjen N. Sembilan. Selepas perjumpaan dengan Ketua Polis Negeri Sembilan Dato Mohd Zaman Khan dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah B.D Hendry serta taklimat ringkas di bilik gerakan saya dan rakan-rakan terdiri dari Ramli Abdul Rahman, Kamaruddin Alias, Ghozali Abdullah, Abd Ghafar Othman, Goh Nyek Leong, Segar dan Daud Jelani dibawa ke Mes Pegawai Kanan Polis.

Mes Pegawai Kanan Polis Kontinjen Negeri Sembilan terletak di Jalan Pekeliling ,Taman Tasek Seremban .Kedudukkannya pula adalah dibahagian belakang kediaman menteri besar. Saya dan rakan-rakan tinggal buat sementara di Mes Pegawai Kanan bagi kemudahan kami berulang alik ke IPK dimana setiap hari kami dijemput menggunakan van pasukan. Kami semua membuat tempahan makanan harian kami daripada isteri MMT Zainal . Beliau adalah salah seorang anggota yang bertugas menjaga Mes Pegawai.

Lebih kurang sebulan tinggal diMes yang kurang selesa saya dan rakan-rakan mengambil keputusan untuk menyewa rumah. Kami berkongsi menyewa rumah di Taman Rahang. Saya tinggal serumah dengan Daud Jelani dan Ghozali Abdullah. Walaupun tinggal dirumah sewa kami masih ke Mes Pegawai untuk makan tengahari dan makan malam.

Lebih kurang dua bulan bertugas saya dan kawan-kawan telah dihantar untuk menjalani kursus Asas Siasatan Jenayah di Sekolah Jabatan Siasatan Jenayah Jalan Semarak, Kuala Lumpur. Sepanjang tempoh kursus kami ditempatkan di City Hotel yang terletak di Jalan Raja Laut. Setiap hari kami akan dibawa dengan bas PDRM ke Jalan Semarak untuk mengikuti kursus. Malang nya pembelajaran saya sedikit terganggu kerana semasa berkursus saya telah dimasukan kehospital Universiti kebangsaan Malaysia untuk menjalani pembedahan Appendix. Saya telah diberi cuti sakit untuk rawatan selama lebih kurang 2 minggu.

Kembali dari menjalani kursus Asas Siasatan Jenayah saya bersama-sama Abd Ghafar, Daud Jelani dan Goh Nyek Leong telah ditempatkan sebagai Pegawai Penyiasat D8 yang menjalankan siasatan kes-kes Narkotik. ASP Sohan Lal adalah ketua kami dicawangan D8 yang menggunakan sebuah rumah banglow diubah suai menjadi pejabat . Rumah ini terletak dibahagian luar pagar bangunan Ibu Pejabat Polis Kontinjen N. Sembilan.

Cawangan D8 kemudiannya diperbesarkan dan dikenali sebagai Cawangan Anti Dadah. Saya pula di arah untuk menjalani pertukaran ke IPD Tampin sebagai Pegawai Penyiasat Anti Dadah pertama disana berkuatkuasa 16 jun 1981.

Saturday, January 17, 2009

PFF Frame course

Selepas tamat latihan di Pusat Latihan Polis Jalan Semarak saya dan rakan-rakan skuad 4/79 telah dihantar ke Sekolah Latihan Polis Hutan , Hulu Kinta , Perak untuk menjalani Latihan Penyesuaian Pasukan Polis Hutan selama sebulan. Dari Sekolah Latihan Hulu Kinta kami dibawa ke Tupah, Sik , Kedah untuk menjalani latihan peperangan hutan. Disinilah cabaran sebenar tinggal dan hidup dalam hutan dengan segala kemudahan yang terhad dan memerlukan semangat yang jitu. Bagi diri saya semasa berlatih disini telah meninggalkan kesan yang sukar untuk dilupakan. Saya terkenangkan betapa kesukaran dan kesengsaraan yang terpaksa ditanggung oleh anggota Pasukan Polis Hutan dan tentera yang berjuang menentang kominis didalam hutan.

Modul latihan yang tidak dapat saya lupakan ialah semasa kami menjalani latihan di Gunung Jerai dimana kami berkemah dan bermalam didalam hutan. Pada malam tersebut semasa sedang tidur tiba-tiba saya terkejut kerana mendengar bunyi tembakan dan letupan bertalu-talu. Saya dan rakan dalam keadaan ketakutan bertindak cepat mencari perlindungan. Apa yang tergambar difikiran saya ketika itu ialah kami telah diserang oleh kominis. Setelah suasana tenteram dan juru latih datang memeriksa kedudukan kami baharulah saya tahu serangan ini adalah salah satu modul latihan.

Minggu terakhir sebelum tamat latihan di Tupah saya telah dimasukan ke Hospital Daerah Sg Petani untuk rawatan kerana disyaki keracunan makanan. Pak Andak saya Murad bin Ahmad yang secara kebetulan bertugas dihospital Sg Petani melawat saya setiap hari untuk bertanya khabar. Dua hari sebelum kami tamat latihan di Tupah saya sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital dan dapatlah juga saya menghadiri majlis mes night yang diadakan sempena tamat latihan kami.

Kompeni I 1979




Waktu lebih kurang jam 12.30 pm 16 November 1979 teksi yang membawa saya keJalan Semarak berhenti dihadapan pintu masuk kePusat Latihan Polis. Selepas mengambil beg yang dibawa saya berdiri memandang kearah anggota yang bertugas mengawal pintu masuk . Ketika itu tergambar difikiran saya kenangan kali pertama saya menjejak kaki ke PULAPOL pada 1 hb Nov 1976 kiri-kira 3 tahun 15 hari yang lalu. Allah telah memakbulkan doa saya ketika menunaikan solat di masjid Solihin selepas tamat latihan konstabal. Saya dengan linangan air mata memanjatkan kesyukuran keatas kunian allah menyempurnakan hajat saya kembali kePulapol menjalani latihan sebagai Inspektor Polis.

Pelatih Inspektor ditempatkan dikompeni I yang terletak diseberang Sungai Bonus. Seramai 168 orang pelatih skuad 4/79 bersama saya melapur diri untuk menjalani latihan selama 6 bulan. Saya ditempatkan didalam bilik tingkat atas barek bujang dua tingkat. Bersama-sama saya dibilik tersebut ialah Mohd Safri Man, Abd Aziz Yunus , Mohd Nasir , Lee Kim Huat dan Lee How Kok . Kami semua berlainan platoon. Jurulatih kawat platoon saya ialah Sjn Mohd Ikhsan manakala penjaga kompeni ialah Insp. Mohd Noh Kandah , beliau juga pernah menjadi pegawai penjaga kompeni saya iaitu kompeni D semasa menjalani latihan Konstabal.

Sebagai pelatih Inspektor, saya telah diberi Nombor baru bagi menggantikan Nombor semasa Konstabal. Kali ini saya diberikan No. I/9361 bagi menggantikan No. Konst 66440. Saya diajar semula latihan berkawat dan undang-undang secara lebih mendalam. Saya terpaksa melalui semula zaman ketika menjalani latihan rekrut Konstabal dahulu.

Dipadang kawat secara kebetulan saya berkesempatan bertemu dan menyampaikan ucapan terima kasih saya kepada bekas jurulatih kawat saya semasa latihan Konstabal Kpl. Jidin yang kini berpangkat Sarjan. Bila saya menemuinya untuk kali pertama saya nampak cik gu Jidin amat terharu dan gembira sekali. Cik gu Jidin sekarang dah jadi penyelia jurulatih kawat.

Di Unit sekolah pula pengajar undang-undang saya ialah ASP Yusof Nook. Semua pembelajaran undang-undang menggunakan pengantar bahasa Inggeris. Bagi saya yang mendapat pendidikan aliran kebangsaan terpaksalah berusaha lebih untuk memahami pelajaran yang diajar. Tuan ASPYusuf Nook amat memahami masaalah kami dan beliau mampu menyampaikan pelajaran dengan cara yang mudah bagi saya dan rakan-rakan untuk memahaminya.

Berkat ketabahan dan kesabaran saya akhirnya berjaya menamatkan latihan asas Inspektor dengan jayanya. Saya lulus peperiksaan undang pertengahan dengan cemerlang. Saya merupakan salah seorang pelatih dari seramai 31 pelatih yang lulus semua enam sabjek mata pelajaran undang-undang Pertengahan yang diambil. Terima kasih kepada semua jurulatih kawat dan juga guru undang-undang yang dengan ikhlas mencurahkan ilmu kepolisan kepada saya. Apa yang dapat saya rasakan kali ini jurulatih dan guru-guru di Pusat Latihan telah berjaya mematangkan diri dan fikiran saya. Jasa semua jurulatih dan guru-guru akan saya kenang hingga akhir hayat. Hanya allah sahaja yang dapat membalas jasa kalian.

Thursday, January 15, 2009

Naik Pangkat


Selepas bertugas lebih kurang setahun sebagai konstabal saya merasakan perlu membuat perubahan dalam hidup saya. Saya ingin melanjutkan pelajaran dan sebagai langkah pertama saya memohon untuk memasuki maktab perguruan. Sementara menunggu panggilan temuduga ada iklan untuk jawatan Inspektor Percubaan dalam akhbar. Kerana cita-cita utama saya untuk menjadi Inspektor saya cuba membuat permohonan jawatan tersebut melalui ketua jabatan.

Akhirnya saya dipanggil untuk menghadiri temuduga bagi kedua-dua jawatan tersebut . Bagi jawatan guru pelatih saya dikehendaki hadir temuduga pada 17 Nov 1978 diSek. Men. Sultan Abu Bakar Temerloh, manakala bagi jawatan Inspektor Percubaan saya dipanggil untuk temuduga di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Kuantan pada 21 Disember 1978.

Bagi menghadiri kedua-dua temuduga tersebut saya dikehendaki mendapatkan surat sokongan daripada Ketua Polis Daerah Temerloh yang merupakan ketua jabatan saya. Saya dengan bantuan Ketua Polis Balai Sjn Wan Idris berjumpa dengan Tuan Hashim Ketua Polis Temerloh bagi mendapatkan surat sokongan untuk dibawa semasa menghadiri temuduga. Saya tidak tahu apa kandongan surat Ketua Polis Daerah kerana dimasukkan dalam sampul surat bertutup yang ditujukan kepada pengerusi temuduga. Saya lebih menaruh harapan untuk berjaya dalam temuduga Inspektor Polis.

Saya telah hadir untuk temuduga bagi jawatan guru pelatih pada tarikh yang ditetapkan. Keputusan temuduga bagi jawatan tersebut akan diberitahu kemudian. Pada 21 Disember 1978 saya hadir untuk temuduga jawatan Inspektor di Kuantan. Pada hari yang sama selepas ditemuduga oleh lembaga yang dipengerusikan oleh Dato Shahir saya dimaklumkan bahawa saya berjaya dan dikehendaki menjalani pemeriksaan perubatan dan tapisan keselamatan oleh pihak Cawangan Khas. Tak dapat dibayangkan kegembiraan saya ketika itu.

Selepas temuduga tersebut saya kembali menyambung tugas seperti biasa diBalai Polis Kuala Krau. Selepas 10 bulan menunggu akhirnya saya ditawarkan jawatan Inspektor Percubaan dan dikehendaki menjalani latihan selama 6 bulan mulai 16 November 1979 diPusat Latihan Polis , Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Kenangan yang sukar saya lupakan, semasa hendak berlepas mengikuti latihan apabila kawan saya Yati telah menghadiahkan saya peralatan kosmetik yang dibungkus dengan pembalut berwarna biru. Saya tidak tahu macam mana hendak berterima kasih kepadanya.

Wednesday, January 14, 2009

Teman


Semasa bertugas di Balai Polis Kuala Krau banyak kenangan manis yang sukar untuk saya lupakan. Kawan saya Musa terus kahwin beberapa bulan selepas bertukar keKuala Krau. Isterinya nama Mahtom bt Ahmad berasal dari Kg. Bukit Pinang, A/Star. Untuk beberapa ketika saya menempah makanan yang dimasak oleh isteri Musa secara bayaran bulanan. Saya hanya berhenti melanggan makanan dari isteri Musa apabila saya berpindah untuk tinggal dirumah banglow yang dijadikan barek bujang. Rumah ini terletak diluar pagar lebih kurang 50 meter dari bangunan balai polis. Disebelah rumah tersebut ialah rumah pegawai hutan dan rumah penghulu mukim Kuala Krau yang saya panggil Pak Chu. Dirumah tersebut saya tinggal bersama-sama Konst Sahidan dan Konst Aziz yang kedua-duanya masih belum berkahwin walaupun usia hampir mencecah 40 an . Konst Aziz akhirnya berkahwin dengan seorang ustazah manakala Sahidan terputus hubungan selepas bertukar ke cawangan khas Pulau Pinang dan saya tidak tahu samaada ia berkahwin atau tidak selepas itu. Semasa tinggal serumah hubungan kami adalah amat baik dan mesra sekali.

Bekalan Elektrik dibandar Kuala Krau dibekalkan melalui injin janakuasa yang terletak betul-betul dibelakang banglow tempat tinggal saya. Bunyi injin yang bising sudah sebati dengan telinga kami. Kalau injin tak berbunyi bermakna bekalan letrik tak ada.

Di Pekan Kuala Krau kedai yang menjadi kegemaran saya untuk menjamu selera pagi dan petang adalah kedai Wak suraini. Keramahan Wak Suraini dan Mak Cik Wok serta makanannya yang sedap itu yang menarik saya untuk menjamu selera. Saya gemar nasi lemak dicampur mee goreng dengan kari ayam untuk sarapan pagi dan untuk tengahari saya akan makan nasi campur kari ayam. Inilah makanan yang saya tidak jemu-jemu. Kalau tak dapat makan satu hari terasa sangat kehilangannya. Kedai Wak akan tutup selepas waktu magrib jadi waktu malam kena cepat pergi makan kalau tidak melepas nanti. Kadang-kadang saya akan berpesan dengan anak Wak Suriani minta tolong simpankan lauk untuk makan malam saya. Wak Suriani selain mempunyai anak lelaki juga mempunyai tiga orang anak perempuan yang masih belajar tetapi sering membantu dikedai. Ketiga-tiga anak perempuannya Rafizah , yati dan lela pandai melayan dan mudah mesra.

Tahun 1979 saya dapat kawan baru masih bujang Konst 73435 Mohd Azizan bin Nordin yang baru bertukar keKuala Krau . Kami berdua tinggal sebilik di rumah bujang. Entah macam mana Azizan telah berkawan rapat dengan anak Wak Suriani bernama Rafizah. Mereka selalu bertemu depan Balai Polis sewaktu Rafizah berjalan balik kerumahnya yang terletak di bahagian belakang tepi pagar Balai Polis Kuala Krau. Saya selalu juga tumpang sekaki berbual dengan Rafizah dan adiknya Yati. Akhirnya pada suatu hari saya telah menerima sepucuk surat "by hand" dari Yati meluahkan perasaannya untuk berkenalan dengan saya. Mulai dari saat itu kami mula lebih rapat dan mesra. Saya tidak tahu mengapa tiba-tiba saya begitu suka dan seronok kalau dapat memandang yati. Gelisah hati saya kalau sehari tak dapat lihat yati. Dah jatuh cinta kah saya!!!

Tuesday, January 13, 2009

Balai Polis Kuala Krau 1977


Cabaran pertama yang terpaksa saya hadapi bila mula bertugas diBalai Polis Kuala Krau ialah untuk menyesuai dan menempatkan diri dikalangan "orang lama". Saya adalah anggota polis paling muda diBalai Polis Kuala Krau. Kekok juga masa mula-mula nak bergaul dengan orang lama. Sebagai orang baru saya amat memahami kedudukan saya yang perlu banyak belajar dan mendapatkan tunjuk ajar dari orang lama. Saya menganggap mereka sebagai bapa dan abang saya.

Sjn Wan Idris yang menjadi ketua polis balai adalah seorang yang berkarisma dan saya amat mengagumi beliau. Semua anggota balai amat menyenangi beliau, kami bukan takut padanya tetapi menghormatinya sebagai seorang ketua. Malu kami untuk melakukan perkara yang tak betul dalam tugas kalau dilihat atau diketahui oleh beliau. Saya memanggilnya dengan panggilan mesra "Tok Wan". Bagi saya apa yang Tok Wan cakap adalah satu perintah dan tak boleh diingkari.

Tok Wan minat seni mempertahankan diri 'silat'. Saya adalah orang yang tak dapat menolak apabila beliau mempelawa untuk bersama-sama dengan anaknya untuk belajar ilmu silat. Kami dibawa berguru dengan seorang guru silat muda di Kg Paya Luas. Ada kalanya Tok Wan akan menjemput guru silat ke Balai dan kami belajar silat di belakang rumahnya. Isteri Tok Wan Mak Cik Rahmah akan menyediakan minuman dan kueh mueh untuk kami selepas selesai bersilat.
Malangnya saya tak dapat belajar silat hingga tamat kerana apabila Tok Wan dinaikkan kepangkat Sarjan Mejor beliau ditukarkan keBalai Polis Mentakab.Saya amat merindui kenangan manis masa bersama-sama Tok Wan dan keluarganya. Semuga Tok Wan dan keluarga sentiasa berada didalam perlindungan dan rahmat allah selalu.

Pemergian Tok Wan bertukar keMentakab diganti oleh Sarjan Abdul Jalil sebagai Ketua Polis Balai Kuala Krau. Sarjan Jalil seorang yang peramah dan mudah mesra. Saya bergaul rapat dengan anak-anaknya antaranya Zulkifli , Mutalib dan khairil.

Di Kuala Krau juga saya berkenalan ramai dengan guru-guru sekolah antaranya yang rapat ialah Yaakub, Raja (Perak), Shafie(Kedah), Shamsuddin(Kedah), Khalid(NS), Zainal, Idrus , Chang(Kelantan) dan che gu Be(Melaka). Saya mengambil kesempatan belajar dengan mereka untuk menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan.

Sunday, January 11, 2009

Passing Out And First Posting- June 1977

Dengan menaiki lori 3 tan milik PDRM saya bersama kawan-kawan yang akan ditugaskan diKontinjen Pahang bergerak secara konvoi dari Kuala Lumpur menuju keKuantan. Jalan ke Pahang amat teruk sekali keadaannya berbelit-belit macam ular dipalu. Sampai di Bentong tempat rehat pertama agak ramai juga rakan-rakan saya yang mabuk angin dan muntah-muntah. Anihnya saya masih boleh bertahan walaupun tak pernah membuat perjalanan begini.

Konvoi sampai diKuantan sudah hampir petang . Saya dan rakan-rakan ditempatkan untuk sementara dibarek PPH Kem Bukit Galing . Keesokannya kami dibawa keIbu Pejabat Polis Kontinjen Pahang untuk mendapat taklimat lanjut. Semasa taklimat saya difahamkan kami akan dipecahkan lagi kedaerah-daerah dan buat sementara akan diberi latihan praktikal di Ibu Pejabat Daerah Polis Kuantan. Kami dijadualkan bertugas secara shif membuat rondaan bit, petrol dan kawalan lokap bersama-sama anggota lama. Seronok juga belajar macam ni, orang lama macam-macam perkara hendak diajar kepada kami. Nasihat bernas dari orang lama yang tersemat difikiran saya ialah buat apa yang disuruh jangan buat apa yang mereka buat.

Selepas 4 hari diKuantan saya bersama-sama lebih kurang 10 orang kawan diberitahu akan ditempatkan didaerah Temerloh. Kami akan dijemput oleh anggota dari Temerloh keesokan harinya. Sampai diIbu Pejabat Polis Daerah Temerloh saya dan seorang rakan Konst 66861 Musa bin Omar diberitahu bahawa kami berdua akan ditempatkan di Balai Polis Kuala Krau, Mentakab. Kawan saya ini juga orang Kedah asalnya dari Kg Telaga Bata, Alor Star. Musa lebih dewasa dari saya umornya dah 24 tahun bekas pelajar Maktab Mahmud Alor Star, manakala saya baru 19 tahun . Nampaknya saya terpaksa bergantung kepada Musa kali ini.

Ketua Polis Balai Kuala Krau Sjn. 10906 Wan Idris bin Nawang datang menjemput saya dan Musa untuk dibawa keKuala Krau dengan menaiki Land Rover. Perjalanan keKuala Krau sejauh lebih kurang 40 Km sungguh mendebarkan macam-macam perasaan merayap dikepala saya. Saya membayangkan Kuala Krau adalah sebuah pekan ditepi laut kerana ada anggota polis di Temerloh beritahu saya di Kuala Krau ada Feri dan polis disana membuat rondaan menggunakan bot polis.

Saya sangat terkejut bila sampai diKuala Krau tak ada pun laut , kuala pun saya tak nampak. Saya sedikit kecewa tetapi bersyukur kerana dah sampai ditempat saya akan bertugas untuk tempoh yang saya tidak tahu berapa lama.

Saya dan Musa berkongsi sebuah rumah kelamin seorang satu bilik . Sebelum menjelang malam P/Ketua Polis Balai Kpl 25370 Wan Ali bin Wan Ahmad bersama beberapa anggota Balai Kuala Krau membawa saya dan Musa berjalan-jalan didalam pekan Kuala Krau. Mula-mula kami dibawa kekedai perabut kepunyaan lelaki cina dikenali sebagai Ah Peng dimana saya dan Musa membeli tilam dan bantal secara hutang dengan jaminan oleh Kpl Wan Ali. Maklumlah masa tu duit tak ada gaji belum dapat. Kami juga diperkenalkan dengan seorang pemilik gerai makan bernama Wak Suriani dan isterinya Kak Wok. Kata Kpl Wan Ali makanan dikedai wak ni sedap kalau nak hutang pun boleh.

Keesokan harinya saya dan Musa melapur diri bertugas diBalai Polis Kuala Krau. Sessi perkenalan saya sangat gembira . Pentadbiran Balai Polis Kuala Krau diketuai oleh Sjn Wan Idris sebagai OCS , penolongnya Kpl Wan Ali, D/Kpl. Harun (SB), Konst.6274 Johan ,Konst Rahim, konst.49974 Jelani ,Konst.51209 Sahidan, Konst.51111 Aziz, Konst.57032 Abdullah Suhaimi, Konst. Saad, Konst.46925 Zainuddin , pemandu L/Rover Konst Ah Teik dan MMT Wok pengendali bot. Tugas mengawal balai dibuat secara shif 24 jam manakala tugas bit dan petrol dibuat secara shif 4 jam siang dan 4 jam malam. Saya bertekad bekerja dengan jujur dan amanah.

Pusat Latihan Polis Jalan Gurney - 1 November 1976


Minggu pertama di Pusat Latihan polis saya merasa amat kekok sekali. Semua perkara perlu dibuat dengan cepat dan pantas. Masa sentiasa dirasakan seolah-olah melarikan diri dari saya. Saya menangis didalam hati dan cemburu melihat ada dikalangan kawan-kawan pelatih mengetahui banyak perkara yang saya tidak tahu. Saya tertanya-tanya dari mana mereka belajar cara mengilat boot menggunakan sudu yang dibakar. Kerana tidak tahu apa-apa saya memerhati sambil meniru apa-apa yang dilakukan oleh mereka. Akhirnya boot saya juga berkilat macam boot mereka, satu kepuasan yang amat sukar untuk digambarkan apabila berjaya melakukan sesuatu dengan baik walau pun terpaksa meniru perbuatan orang lain. Pengajaran kepada saya jangan jadikan alasan tidak tahu sebagai penghalang kepada kerja yang hendak dibuat. Kalau ada usaha dan sanggup belajar cara orang lain saya akan mampu melakukannya dengan baik.

Di Pusat Latihan jurulatih tidak akan bertolak ansur dengan kita. Apa saja kesilapan yang kita lakukan akan menjadi satu kesalahan dan hukuman sedia menanti. Dalam satu platoon ada 35 orang pelatih. Kami perlu bersatu dan bekerjasama kerana setiap kesalahan yang dilakukan oleh individu dalam kumpulan hukuman secara kolektif menanti. Peraturan ini membuatkan kami sentiasa berhati-hati dan saling bantu membantu. Saya menerima ini sebagai pengajaran untuk diamalkan supaya jangan sekali-kali melakukan kesilapan disamping menanam semangat setiakawan didalam jiwa saya.

Sebagai anggota polis saya diberi nombor pengenalan baru bagi menggantikan nombor kad pengenalan awam . Nombor baru yang diberi kepada saya ialah Konst 66440 bagi menggantikan pengenalan awam saya nomber 5555594. Bila dah dapat nombor saya dan rakan-rakan pelatih mula dikenali dengan nombor. Disini bermulalah amalan kami mengenali kawan-kawan melalui sebutan nombor. Seronok tau tukar nama jadi nomber. Pengajaran kepada saya kali ini ialah otak saya sebenarnya mampu menyimpan ingatan dengan mudah bila sesuatu itu disebut berulang kali. Sehingga sekarang saya masih ingat nombor rakan-rakan pelatih saya walau pun sudah 32 tahun tidak bertemu.

Dua bulan pertama tumpuan lebih diberikan kepada latihan berkawat . Pagi dan petang saya dan rakan-rakan akan diajar kawat tangan dan juga kawat menggunakan senjata. Senjata yang digunakan ialah jenis Mark 5. Guru kawat saya ialah Kpl Jidin seorang guru kawat berpengalaman yang sangat saya segani kerana sifat sabarnya dan seorang yang tidak suka mendera. Bila dapat melakukan kawat dengan sempurna dan baik saya merasa amat puas dan bangga. Bukan mudah melakukan sesuatu secara berkumpulan, tak boleh ada yang silap. Latihan kawat mengajar saya supaya bersifat bersedia menerima dan melaksanakan arahan dengan gigih dan kesabaran yang tinggi.

Sebagai pelengkap latihan saya diajar undang-undang dan peraturan polis . Saya diajar mengenali Kanun Keseksaan, Kanun Acara Jenayah , Undang-Undang Am dan Akta Polis. Guru undang-undang saya ialah Kpl. Maarof Harun. Dalam peperiksaan akhir di Pusat Latihan alhamdulillah saya berjaya lulus keempat-empat sabjek undang-undang yang saya duduki . Saya mendapat sesuatu yang penting dalam hidup saya , pengetahuan untuk menentukan yang mana betul dan yang mana salah disisi undang-undang. Ilmu ini pula akan saya gunakan untuk menegakkan keadilan.

Selepas tujuh bulan saya berjaya menamatkan latihan dengan jayanya. Pusat Latihan Polis telah berjaya menukar diri saya menjadi seorang remaja yang cekal dan berilmu. Semasa menunaikan sembahyang dimasjid solihin sebelum meninggalkan pusat latihan, saya berdoa didalam sujud memohon rahmat allah agar saya dapat kembali ke Pusat Latihan untuk dilatih sebagai seorang pegawai polis. Saya melangkah keluar dari Pusat latihan Polis dengan penuh harapan menjadi seorang polis yang berjaya dan mendapat rahmat allah diatas semua perkara yang akan saya lakukan semasa menjalankan tugas nanti.

Saturday, January 10, 2009

Masuk Polis

Bangun tidur teringat zaman silam masa mula-mula nak mulakan kerjaya dalam pasukan polis. Sebenarnya semasa sekolah rendah lagi saya menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang pegawai polis. Saya selalu membisikan kepada aruah nenek hasrat saya bila dewasa nak menjadi Inspektor Polis.
Saya tiba-tiba teringatkan aruah nenek bersama Pak Cik Harun. Masa berumor 7 tahun saya dan adik perempuan bernama Rashadah tinggal bersama nenek dan Pak Cik Harun di Jongkong Estate tempat Pak Cik dan nenek bekerja menoreh getah. Masa itu Pak Cik Harun masih bujang, kami berempat tinggal dirumah yang disediakan estate iaitu rumah berkembar dua dan mempunyai 2 bilik tidor. Kami sangat gembira walau pun hidup dalam keadaan yang agak sukar. Saya masih terbayang keseronokan yang kami lalui semasa tinggal diestate tersebut.
Saya dan Syadah belajar di Sekolah Kebangsaan Sg Kob, Kulim, Kedah yang jauhnya hampir tujuh km dari tempat tinggal. Saya dan Syadah naik basikal dan kadang-kadang berjalan kaki kesekolah setiap hari.
Tahun 1971 saya mendaftar masuk tingkatan satu diSek. Men. Keb. Kulim. Kerana kesukaran untuk ke sekolah yang terlalu jauh selepas lebih kurang sebulan saya ditukarkan keSek. Men. Jitra dan kembali tinggal bersama keluarga semula. Syadah masih bersama nenek dan Pak Cik Harun diKulim tetapi telah berpindah ke Tanah rancangan Kg Padang Limau yang diusahakan oleh Pak Cik dan Nenek.Saya hanya menziarah nenek ketika cuti sekolah.
Tahun 1975 saya mengambil peperiksaan SPM malangnya hanya mendapat gred tiga. Gagal untuk ke tingkatan enam. Bila ada iklan untuk pengambilan konstabal polis tanpa pengetahuan keluarga saya terus memohon.
Selepas berjaya dalam temuduga saya ditawarkan untuk jawatan konstabal dan dikehendaki melapur diri menjalani latihan diPusat Latihan Polis Jalan Gurney pada 1 Nov 1976.
Pada 30 Oktober 1976 bapa menghantar saya ke stesyen keretapi Alor Star. Sedih dan gementar hanya tuhan yang tahu semasa keretapi mula bergerak. Kali pertama berpisah dengan keluarga dan terpaksa berdikari.
Jam 5.30 pagi 1 Nov 1976 sampai di stesyen keretapi Kuala Lumpur . Ambil beg terus turun dari keretapi dengan penuh debaran, maklumlah kali pertama menjejak kaki di bumi Kuala Lumpur. Sedang berfikir macam mana nak ke Jln Gurney ada pemandu teksi merapati saya bertanya kalau saya hendak ke Pusat Latihan Polis, saya terus mengangguk dan mengikutinya keteksi. Rupanya dah ada penumpang lain juga sama-sama hendak ke Pusat Latihan Polis . Empat orang satu teksi kami terus keJalan Gurney berhenti betul-betul didepan pintu masuk Pusat Latihan. Melangkah masuk ke Pusat Latihan dengan bangganya. Aku dah jadi polis.

Temujanji

Hari khmis 8 jan 09 saya dihubungi En. Shahril dari akhbar utusan. katanya nak buat temujanji menemubual saya untuk ruangan gaya surat khabar utusan. Temujanji ditetapkan pada jam 3.00 pm 9 jan 09 dipejabat saya.
Jam 2.30 pm 9 Jan 09 rakan Shahril nama Nomala call saya untuk mengingatkan tentang temujanji yang dibuat. Rupanya masa buat call normala dah sampai di Bukit Aman. Saya beritahu beliau saya dalam perjalanan kepejabat.
Kawan-kawan dipejabat agak terkejut melihat saya yang masih bercuti masuk kepejabat . Saya bagitau ada orang utusan nak jumpa saya . Semua dah buat kesimpulan ini mesti berkaitan program akhbar utusan untuk ruangan polis dan tentera. Saya nampak Ros dan Harida senyum-senyum simpul dan berpesan jangan lupa ambil gambar mereka sama nanti.
Selepas dah bersedia saya keluar kelobi menjemput Shahril dan Normala. Tunggulah apa cerita saya yang akan diterbitkan dalam akhbar dalam masa 2 minggu lagi seperti dikatakan oleh Normala.

coretan

Baru ni ambil cuti dua minggu kerana geram tahun 2008 tak sempat nak ambil cuti. Kata cc lepas semak kat bahagian rekod cuti 35 hari burn . Macam ni la kerja polis cuti diberi banyak tapi tak boleh nak ambil, ada saja kerja menanti setiap hari. Tak kisah la asalkan hati seronok nak kerja.
Kebetulan pula masa cuti ni anak yang bongsu Che Ahmad Syahir nak masuk darjah satu dapat la jalankan tanggungjawab sebagai bapa. Seronok betul kerana anak ni bersemangat betul nak kesekolah.
Masa saya dulu tiga minggu darjah satu arwah Pakcik terpaksa tunggu tepi kelas kalau tak saya pun ikut balik. Yang saya tak dapat lupa hingga sekarang ialah kisah saya panjat tingkap dan lari dengan dikejar oleh cik gu dan beberapa orang murid hampir setengah kilometer. Selepas kejadian itu saya dapat pengajaran pertama dari arwah pakcik Harun yang berjaya mengubah minda saya. Terima kasih Pak cik Harun yang berjaya menjadikan aku seorang manusia.