Saturday, January 10, 2009

Masuk Polis

Bangun tidur teringat zaman silam masa mula-mula nak mulakan kerjaya dalam pasukan polis. Sebenarnya semasa sekolah rendah lagi saya menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang pegawai polis. Saya selalu membisikan kepada aruah nenek hasrat saya bila dewasa nak menjadi Inspektor Polis.
Saya tiba-tiba teringatkan aruah nenek bersama Pak Cik Harun. Masa berumor 7 tahun saya dan adik perempuan bernama Rashadah tinggal bersama nenek dan Pak Cik Harun di Jongkong Estate tempat Pak Cik dan nenek bekerja menoreh getah. Masa itu Pak Cik Harun masih bujang, kami berempat tinggal dirumah yang disediakan estate iaitu rumah berkembar dua dan mempunyai 2 bilik tidor. Kami sangat gembira walau pun hidup dalam keadaan yang agak sukar. Saya masih terbayang keseronokan yang kami lalui semasa tinggal diestate tersebut.
Saya dan Syadah belajar di Sekolah Kebangsaan Sg Kob, Kulim, Kedah yang jauhnya hampir tujuh km dari tempat tinggal. Saya dan Syadah naik basikal dan kadang-kadang berjalan kaki kesekolah setiap hari.
Tahun 1971 saya mendaftar masuk tingkatan satu diSek. Men. Keb. Kulim. Kerana kesukaran untuk ke sekolah yang terlalu jauh selepas lebih kurang sebulan saya ditukarkan keSek. Men. Jitra dan kembali tinggal bersama keluarga semula. Syadah masih bersama nenek dan Pak Cik Harun diKulim tetapi telah berpindah ke Tanah rancangan Kg Padang Limau yang diusahakan oleh Pak Cik dan Nenek.Saya hanya menziarah nenek ketika cuti sekolah.
Tahun 1975 saya mengambil peperiksaan SPM malangnya hanya mendapat gred tiga. Gagal untuk ke tingkatan enam. Bila ada iklan untuk pengambilan konstabal polis tanpa pengetahuan keluarga saya terus memohon.
Selepas berjaya dalam temuduga saya ditawarkan untuk jawatan konstabal dan dikehendaki melapur diri menjalani latihan diPusat Latihan Polis Jalan Gurney pada 1 Nov 1976.
Pada 30 Oktober 1976 bapa menghantar saya ke stesyen keretapi Alor Star. Sedih dan gementar hanya tuhan yang tahu semasa keretapi mula bergerak. Kali pertama berpisah dengan keluarga dan terpaksa berdikari.
Jam 5.30 pagi 1 Nov 1976 sampai di stesyen keretapi Kuala Lumpur . Ambil beg terus turun dari keretapi dengan penuh debaran, maklumlah kali pertama menjejak kaki di bumi Kuala Lumpur. Sedang berfikir macam mana nak ke Jln Gurney ada pemandu teksi merapati saya bertanya kalau saya hendak ke Pusat Latihan Polis, saya terus mengangguk dan mengikutinya keteksi. Rupanya dah ada penumpang lain juga sama-sama hendak ke Pusat Latihan Polis . Empat orang satu teksi kami terus keJalan Gurney berhenti betul-betul didepan pintu masuk Pusat Latihan. Melangkah masuk ke Pusat Latihan dengan bangganya. Aku dah jadi polis.

1 comment:

  1. Assalamualaikum,
    Memang inilah dia antara detik manis bermulanya kerjaya kita dalam PDRM. Anak kampung yang serba kekurangan dengan harta benda tetapi kaya dengan keberanian dan bersemangat waja. Kita perhambakan diri menjunjung kedaulatan tanah tercinta. Saya turut merasa bangga menjadi warga PDRM.

    ReplyDelete