Sunday, January 11, 2009

Pusat Latihan Polis Jalan Gurney - 1 November 1976


Minggu pertama di Pusat Latihan polis saya merasa amat kekok sekali. Semua perkara perlu dibuat dengan cepat dan pantas. Masa sentiasa dirasakan seolah-olah melarikan diri dari saya. Saya menangis didalam hati dan cemburu melihat ada dikalangan kawan-kawan pelatih mengetahui banyak perkara yang saya tidak tahu. Saya tertanya-tanya dari mana mereka belajar cara mengilat boot menggunakan sudu yang dibakar. Kerana tidak tahu apa-apa saya memerhati sambil meniru apa-apa yang dilakukan oleh mereka. Akhirnya boot saya juga berkilat macam boot mereka, satu kepuasan yang amat sukar untuk digambarkan apabila berjaya melakukan sesuatu dengan baik walau pun terpaksa meniru perbuatan orang lain. Pengajaran kepada saya jangan jadikan alasan tidak tahu sebagai penghalang kepada kerja yang hendak dibuat. Kalau ada usaha dan sanggup belajar cara orang lain saya akan mampu melakukannya dengan baik.

Di Pusat Latihan jurulatih tidak akan bertolak ansur dengan kita. Apa saja kesilapan yang kita lakukan akan menjadi satu kesalahan dan hukuman sedia menanti. Dalam satu platoon ada 35 orang pelatih. Kami perlu bersatu dan bekerjasama kerana setiap kesalahan yang dilakukan oleh individu dalam kumpulan hukuman secara kolektif menanti. Peraturan ini membuatkan kami sentiasa berhati-hati dan saling bantu membantu. Saya menerima ini sebagai pengajaran untuk diamalkan supaya jangan sekali-kali melakukan kesilapan disamping menanam semangat setiakawan didalam jiwa saya.

Sebagai anggota polis saya diberi nombor pengenalan baru bagi menggantikan nombor kad pengenalan awam . Nombor baru yang diberi kepada saya ialah Konst 66440 bagi menggantikan pengenalan awam saya nomber 5555594. Bila dah dapat nombor saya dan rakan-rakan pelatih mula dikenali dengan nombor. Disini bermulalah amalan kami mengenali kawan-kawan melalui sebutan nombor. Seronok tau tukar nama jadi nomber. Pengajaran kepada saya kali ini ialah otak saya sebenarnya mampu menyimpan ingatan dengan mudah bila sesuatu itu disebut berulang kali. Sehingga sekarang saya masih ingat nombor rakan-rakan pelatih saya walau pun sudah 32 tahun tidak bertemu.

Dua bulan pertama tumpuan lebih diberikan kepada latihan berkawat . Pagi dan petang saya dan rakan-rakan akan diajar kawat tangan dan juga kawat menggunakan senjata. Senjata yang digunakan ialah jenis Mark 5. Guru kawat saya ialah Kpl Jidin seorang guru kawat berpengalaman yang sangat saya segani kerana sifat sabarnya dan seorang yang tidak suka mendera. Bila dapat melakukan kawat dengan sempurna dan baik saya merasa amat puas dan bangga. Bukan mudah melakukan sesuatu secara berkumpulan, tak boleh ada yang silap. Latihan kawat mengajar saya supaya bersifat bersedia menerima dan melaksanakan arahan dengan gigih dan kesabaran yang tinggi.

Sebagai pelengkap latihan saya diajar undang-undang dan peraturan polis . Saya diajar mengenali Kanun Keseksaan, Kanun Acara Jenayah , Undang-Undang Am dan Akta Polis. Guru undang-undang saya ialah Kpl. Maarof Harun. Dalam peperiksaan akhir di Pusat Latihan alhamdulillah saya berjaya lulus keempat-empat sabjek undang-undang yang saya duduki . Saya mendapat sesuatu yang penting dalam hidup saya , pengetahuan untuk menentukan yang mana betul dan yang mana salah disisi undang-undang. Ilmu ini pula akan saya gunakan untuk menegakkan keadilan.

Selepas tujuh bulan saya berjaya menamatkan latihan dengan jayanya. Pusat Latihan Polis telah berjaya menukar diri saya menjadi seorang remaja yang cekal dan berilmu. Semasa menunaikan sembahyang dimasjid solihin sebelum meninggalkan pusat latihan, saya berdoa didalam sujud memohon rahmat allah agar saya dapat kembali ke Pusat Latihan untuk dilatih sebagai seorang pegawai polis. Saya melangkah keluar dari Pusat latihan Polis dengan penuh harapan menjadi seorang polis yang berjaya dan mendapat rahmat allah diatas semua perkara yang akan saya lakukan semasa menjalankan tugas nanti.

1 comment:

  1. Assalamu'alaikum, Tuan. Maaf kiranya saya bertanya, sewaktu Tuan dilatih di PULAPOL ketika itu, kenalkah Tuan dengan Ketua Guru Kawad yang dikenali sebagai Cik Gu Yusof panjang ( usat latihan Pulapol)?

    ReplyDelete