Showing posts with label umum. Show all posts
Showing posts with label umum. Show all posts

Sunday, January 11, 2009

Passing Out And First Posting- June 1977

Dengan menaiki lori 3 tan milik PDRM saya bersama kawan-kawan yang akan ditugaskan diKontinjen Pahang bergerak secara konvoi dari Kuala Lumpur menuju keKuantan. Jalan ke Pahang amat teruk sekali keadaannya berbelit-belit macam ular dipalu. Sampai di Bentong tempat rehat pertama agak ramai juga rakan-rakan saya yang mabuk angin dan muntah-muntah. Anihnya saya masih boleh bertahan walaupun tak pernah membuat perjalanan begini.

Konvoi sampai diKuantan sudah hampir petang . Saya dan rakan-rakan ditempatkan untuk sementara dibarek PPH Kem Bukit Galing . Keesokannya kami dibawa keIbu Pejabat Polis Kontinjen Pahang untuk mendapat taklimat lanjut. Semasa taklimat saya difahamkan kami akan dipecahkan lagi kedaerah-daerah dan buat sementara akan diberi latihan praktikal di Ibu Pejabat Daerah Polis Kuantan. Kami dijadualkan bertugas secara shif membuat rondaan bit, petrol dan kawalan lokap bersama-sama anggota lama. Seronok juga belajar macam ni, orang lama macam-macam perkara hendak diajar kepada kami. Nasihat bernas dari orang lama yang tersemat difikiran saya ialah buat apa yang disuruh jangan buat apa yang mereka buat.

Selepas 4 hari diKuantan saya bersama-sama lebih kurang 10 orang kawan diberitahu akan ditempatkan didaerah Temerloh. Kami akan dijemput oleh anggota dari Temerloh keesokan harinya. Sampai diIbu Pejabat Polis Daerah Temerloh saya dan seorang rakan Konst 66861 Musa bin Omar diberitahu bahawa kami berdua akan ditempatkan di Balai Polis Kuala Krau, Mentakab. Kawan saya ini juga orang Kedah asalnya dari Kg Telaga Bata, Alor Star. Musa lebih dewasa dari saya umornya dah 24 tahun bekas pelajar Maktab Mahmud Alor Star, manakala saya baru 19 tahun . Nampaknya saya terpaksa bergantung kepada Musa kali ini.

Ketua Polis Balai Kuala Krau Sjn. 10906 Wan Idris bin Nawang datang menjemput saya dan Musa untuk dibawa keKuala Krau dengan menaiki Land Rover. Perjalanan keKuala Krau sejauh lebih kurang 40 Km sungguh mendebarkan macam-macam perasaan merayap dikepala saya. Saya membayangkan Kuala Krau adalah sebuah pekan ditepi laut kerana ada anggota polis di Temerloh beritahu saya di Kuala Krau ada Feri dan polis disana membuat rondaan menggunakan bot polis.

Saya sangat terkejut bila sampai diKuala Krau tak ada pun laut , kuala pun saya tak nampak. Saya sedikit kecewa tetapi bersyukur kerana dah sampai ditempat saya akan bertugas untuk tempoh yang saya tidak tahu berapa lama.

Saya dan Musa berkongsi sebuah rumah kelamin seorang satu bilik . Sebelum menjelang malam P/Ketua Polis Balai Kpl 25370 Wan Ali bin Wan Ahmad bersama beberapa anggota Balai Kuala Krau membawa saya dan Musa berjalan-jalan didalam pekan Kuala Krau. Mula-mula kami dibawa kekedai perabut kepunyaan lelaki cina dikenali sebagai Ah Peng dimana saya dan Musa membeli tilam dan bantal secara hutang dengan jaminan oleh Kpl Wan Ali. Maklumlah masa tu duit tak ada gaji belum dapat. Kami juga diperkenalkan dengan seorang pemilik gerai makan bernama Wak Suriani dan isterinya Kak Wok. Kata Kpl Wan Ali makanan dikedai wak ni sedap kalau nak hutang pun boleh.

Keesokan harinya saya dan Musa melapur diri bertugas diBalai Polis Kuala Krau. Sessi perkenalan saya sangat gembira . Pentadbiran Balai Polis Kuala Krau diketuai oleh Sjn Wan Idris sebagai OCS , penolongnya Kpl Wan Ali, D/Kpl. Harun (SB), Konst.6274 Johan ,Konst Rahim, konst.49974 Jelani ,Konst.51209 Sahidan, Konst.51111 Aziz, Konst.57032 Abdullah Suhaimi, Konst. Saad, Konst.46925 Zainuddin , pemandu L/Rover Konst Ah Teik dan MMT Wok pengendali bot. Tugas mengawal balai dibuat secara shif 24 jam manakala tugas bit dan petrol dibuat secara shif 4 jam siang dan 4 jam malam. Saya bertekad bekerja dengan jujur dan amanah.

Pusat Latihan Polis Jalan Gurney - 1 November 1976


Minggu pertama di Pusat Latihan polis saya merasa amat kekok sekali. Semua perkara perlu dibuat dengan cepat dan pantas. Masa sentiasa dirasakan seolah-olah melarikan diri dari saya. Saya menangis didalam hati dan cemburu melihat ada dikalangan kawan-kawan pelatih mengetahui banyak perkara yang saya tidak tahu. Saya tertanya-tanya dari mana mereka belajar cara mengilat boot menggunakan sudu yang dibakar. Kerana tidak tahu apa-apa saya memerhati sambil meniru apa-apa yang dilakukan oleh mereka. Akhirnya boot saya juga berkilat macam boot mereka, satu kepuasan yang amat sukar untuk digambarkan apabila berjaya melakukan sesuatu dengan baik walau pun terpaksa meniru perbuatan orang lain. Pengajaran kepada saya jangan jadikan alasan tidak tahu sebagai penghalang kepada kerja yang hendak dibuat. Kalau ada usaha dan sanggup belajar cara orang lain saya akan mampu melakukannya dengan baik.

Di Pusat Latihan jurulatih tidak akan bertolak ansur dengan kita. Apa saja kesilapan yang kita lakukan akan menjadi satu kesalahan dan hukuman sedia menanti. Dalam satu platoon ada 35 orang pelatih. Kami perlu bersatu dan bekerjasama kerana setiap kesalahan yang dilakukan oleh individu dalam kumpulan hukuman secara kolektif menanti. Peraturan ini membuatkan kami sentiasa berhati-hati dan saling bantu membantu. Saya menerima ini sebagai pengajaran untuk diamalkan supaya jangan sekali-kali melakukan kesilapan disamping menanam semangat setiakawan didalam jiwa saya.

Sebagai anggota polis saya diberi nombor pengenalan baru bagi menggantikan nombor kad pengenalan awam . Nombor baru yang diberi kepada saya ialah Konst 66440 bagi menggantikan pengenalan awam saya nomber 5555594. Bila dah dapat nombor saya dan rakan-rakan pelatih mula dikenali dengan nombor. Disini bermulalah amalan kami mengenali kawan-kawan melalui sebutan nombor. Seronok tau tukar nama jadi nomber. Pengajaran kepada saya kali ini ialah otak saya sebenarnya mampu menyimpan ingatan dengan mudah bila sesuatu itu disebut berulang kali. Sehingga sekarang saya masih ingat nombor rakan-rakan pelatih saya walau pun sudah 32 tahun tidak bertemu.

Dua bulan pertama tumpuan lebih diberikan kepada latihan berkawat . Pagi dan petang saya dan rakan-rakan akan diajar kawat tangan dan juga kawat menggunakan senjata. Senjata yang digunakan ialah jenis Mark 5. Guru kawat saya ialah Kpl Jidin seorang guru kawat berpengalaman yang sangat saya segani kerana sifat sabarnya dan seorang yang tidak suka mendera. Bila dapat melakukan kawat dengan sempurna dan baik saya merasa amat puas dan bangga. Bukan mudah melakukan sesuatu secara berkumpulan, tak boleh ada yang silap. Latihan kawat mengajar saya supaya bersifat bersedia menerima dan melaksanakan arahan dengan gigih dan kesabaran yang tinggi.

Sebagai pelengkap latihan saya diajar undang-undang dan peraturan polis . Saya diajar mengenali Kanun Keseksaan, Kanun Acara Jenayah , Undang-Undang Am dan Akta Polis. Guru undang-undang saya ialah Kpl. Maarof Harun. Dalam peperiksaan akhir di Pusat Latihan alhamdulillah saya berjaya lulus keempat-empat sabjek undang-undang yang saya duduki . Saya mendapat sesuatu yang penting dalam hidup saya , pengetahuan untuk menentukan yang mana betul dan yang mana salah disisi undang-undang. Ilmu ini pula akan saya gunakan untuk menegakkan keadilan.

Selepas tujuh bulan saya berjaya menamatkan latihan dengan jayanya. Pusat Latihan Polis telah berjaya menukar diri saya menjadi seorang remaja yang cekal dan berilmu. Semasa menunaikan sembahyang dimasjid solihin sebelum meninggalkan pusat latihan, saya berdoa didalam sujud memohon rahmat allah agar saya dapat kembali ke Pusat Latihan untuk dilatih sebagai seorang pegawai polis. Saya melangkah keluar dari Pusat latihan Polis dengan penuh harapan menjadi seorang polis yang berjaya dan mendapat rahmat allah diatas semua perkara yang akan saya lakukan semasa menjalankan tugas nanti.

Saturday, January 10, 2009

Masuk Polis

Bangun tidur teringat zaman silam masa mula-mula nak mulakan kerjaya dalam pasukan polis. Sebenarnya semasa sekolah rendah lagi saya menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang pegawai polis. Saya selalu membisikan kepada aruah nenek hasrat saya bila dewasa nak menjadi Inspektor Polis.
Saya tiba-tiba teringatkan aruah nenek bersama Pak Cik Harun. Masa berumor 7 tahun saya dan adik perempuan bernama Rashadah tinggal bersama nenek dan Pak Cik Harun di Jongkong Estate tempat Pak Cik dan nenek bekerja menoreh getah. Masa itu Pak Cik Harun masih bujang, kami berempat tinggal dirumah yang disediakan estate iaitu rumah berkembar dua dan mempunyai 2 bilik tidor. Kami sangat gembira walau pun hidup dalam keadaan yang agak sukar. Saya masih terbayang keseronokan yang kami lalui semasa tinggal diestate tersebut.
Saya dan Syadah belajar di Sekolah Kebangsaan Sg Kob, Kulim, Kedah yang jauhnya hampir tujuh km dari tempat tinggal. Saya dan Syadah naik basikal dan kadang-kadang berjalan kaki kesekolah setiap hari.
Tahun 1971 saya mendaftar masuk tingkatan satu diSek. Men. Keb. Kulim. Kerana kesukaran untuk ke sekolah yang terlalu jauh selepas lebih kurang sebulan saya ditukarkan keSek. Men. Jitra dan kembali tinggal bersama keluarga semula. Syadah masih bersama nenek dan Pak Cik Harun diKulim tetapi telah berpindah ke Tanah rancangan Kg Padang Limau yang diusahakan oleh Pak Cik dan Nenek.Saya hanya menziarah nenek ketika cuti sekolah.
Tahun 1975 saya mengambil peperiksaan SPM malangnya hanya mendapat gred tiga. Gagal untuk ke tingkatan enam. Bila ada iklan untuk pengambilan konstabal polis tanpa pengetahuan keluarga saya terus memohon.
Selepas berjaya dalam temuduga saya ditawarkan untuk jawatan konstabal dan dikehendaki melapur diri menjalani latihan diPusat Latihan Polis Jalan Gurney pada 1 Nov 1976.
Pada 30 Oktober 1976 bapa menghantar saya ke stesyen keretapi Alor Star. Sedih dan gementar hanya tuhan yang tahu semasa keretapi mula bergerak. Kali pertama berpisah dengan keluarga dan terpaksa berdikari.
Jam 5.30 pagi 1 Nov 1976 sampai di stesyen keretapi Kuala Lumpur . Ambil beg terus turun dari keretapi dengan penuh debaran, maklumlah kali pertama menjejak kaki di bumi Kuala Lumpur. Sedang berfikir macam mana nak ke Jln Gurney ada pemandu teksi merapati saya bertanya kalau saya hendak ke Pusat Latihan Polis, saya terus mengangguk dan mengikutinya keteksi. Rupanya dah ada penumpang lain juga sama-sama hendak ke Pusat Latihan Polis . Empat orang satu teksi kami terus keJalan Gurney berhenti betul-betul didepan pintu masuk Pusat Latihan. Melangkah masuk ke Pusat Latihan dengan bangganya. Aku dah jadi polis.

Temujanji

Hari khmis 8 jan 09 saya dihubungi En. Shahril dari akhbar utusan. katanya nak buat temujanji menemubual saya untuk ruangan gaya surat khabar utusan. Temujanji ditetapkan pada jam 3.00 pm 9 jan 09 dipejabat saya.
Jam 2.30 pm 9 Jan 09 rakan Shahril nama Nomala call saya untuk mengingatkan tentang temujanji yang dibuat. Rupanya masa buat call normala dah sampai di Bukit Aman. Saya beritahu beliau saya dalam perjalanan kepejabat.
Kawan-kawan dipejabat agak terkejut melihat saya yang masih bercuti masuk kepejabat . Saya bagitau ada orang utusan nak jumpa saya . Semua dah buat kesimpulan ini mesti berkaitan program akhbar utusan untuk ruangan polis dan tentera. Saya nampak Ros dan Harida senyum-senyum simpul dan berpesan jangan lupa ambil gambar mereka sama nanti.
Selepas dah bersedia saya keluar kelobi menjemput Shahril dan Normala. Tunggulah apa cerita saya yang akan diterbitkan dalam akhbar dalam masa 2 minggu lagi seperti dikatakan oleh Normala.